CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 12 Januari 2014

Tarikh Kelahiran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam



Oleh : Al Faqir 'Azam

Para Ulama dan Ahli Falak telah sepakat bahawa tahun gajah, yakni tahun kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571 Masihi dan Baginda SAW lahir pada bulan Rabi'ul Awal, hari Isnin. Bagaimanapun, mereka berbeza pendapat dalam menentukan adakah Baginda SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awal atau 12 Rabi'ul Awal; 20 April atau 22 April? Terdapat juga beberapa pendapat yang lain tetapi ianya lemah.

Menurut Imam Al-Kauthari, Raja Muzaffar Kaukabri(wafat 620H), pengasas majlis sambutan maulid Nabi SAW pernah menyambutnya pada malam kelapan Rabi'ul Awal (hari 9 rabi'ul Awal) pada tahun tertentu, dan menyambutnya pada malam 12 Rabi'ul Awal pada tahun yang lain untuk beramal dan meraikan kedua-dua riwayat tersebut. [Maqalat Al-Kauthari m/s 307]

Berkata Al-Imam Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Faqih Muhammad Zahid Al-Kawthari r.a (Ulama besar zaman khilafah Uthmaniah wafat 1371 h):

Adat yang biasa diikuti di negara-negara islam dalam sambutan Maulid Nabi SAW adalah pada 12 Rabi'ul Awwal kerana telah disepakati kelahiran baginda SAW tidak berlaku setelah tarikh ini(dari 13 hingga 30 Rabi'ul Awal) di sisi seluruh ulama, maka mereka mengadakannya di satu malam yang tidak mempunyai apa-apa perbezaan pendapat setelah tarikh ini yang mana telah jelas Nabi SAW lahir sebelum waktu tersebut.

Dan tidaklah satu perkara yang aneh tentang khilaf tarikh kelahiran Nabi SAW kerana Baginda SAW lahir di sisi masyarakat yang buta huruf, tidak tahu menulis dan mengira serta tidak tertulis dalam sejarah kecuali peristiwa-peristiwa yang makruf di sisi mereka.

Para ulama berbeza pendapat sama ada Nabi SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awwal atau 10 Rabi'ul Awwal atau 12 Rabi'ul Awwal.

Tarikh 10 Rabi'u awwal disandarkan oleh Ibnu Sa'ad di dalam tabaqatnya kepada Muhammad Al-Baqir r.a, tetapi pada sanadnya ada 3 periwayat yang dipertikaikan.

Tarikh 12 Rabi'ul Awwal pula walaupun masyhur dan dinaqalkan kebanyakan ulama dalam kitab-kitab sirah, tetapi asalnya disandarkan kepada Muhammad Ibnu Ishaq, dan tarikh ini disebut oleh Muhammad Ibnu Ishaq tanpa sanad(tiada sanad)..

Manakala tarikh 9 Rabi'ul Awwal adalah yang paling rajih dan muktamad, ia merupakan pendapat yang dikemukakan Ibnu Abdil Barr dalam 'Al-Isti'ab' ketika menyebut sudut khilaf dalam tarikh maulid Nabi SAW. Dan telah menghadkan tentangnya sebelumnya Abu Bakar Muhammad Bin Musa Al-Khawarizmi. Dan berkata tentang tarikh ini juga Al-Hafiz Umar Ibnu Dihyah al-Kalbi dalam kitabnya 'At-Tanwir Fi Maulid As-siraj Al-munir' yang mana dengan kitab tersebut beliau mendapat hadiah 1000 dinar dari Raja Muzaffar Ad-din(di zaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi) katanya, "Dan ianya(tarikh 9 rabiulawwal) tiada yang sahih tarikh selainnya dan telah sepakat tentangnya ahli sejarah"

Bahkan ianya juga dikuatkan lagi dengan kajian pakar ilmu falak yang terkenal, Al-Allamah Mahmud Basya Al-Falaki Al-Misri dalam risalahnya yang berbahasa Perancis dan telah diterjemahkan kepada bahasa arab oleh Ahmad Zaki Basya berjudul "Nataij Al-afham Fi Taqwim Al-Arab Qablal Islam Wa Fi Tahqiq Maulid Nabi Wa Umruhu 'Alaihissolatuwassalam" pada tahun 1305 h. Kajian tersebut mengemukakan banyak kajian-kajian ahli falak timur dan barat yang mengesahkan bahawa hari Isnin bertepatan pada 9 Rabi'ul Awwal tahun gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi. [Rujuk Maqalat Al-Kauthari m/s: 305-307 & 311]

Syaikh Sofiurrahman Al-Mubarakfuri juga menyebutkan dalam kitab sirahnya 'Raheeq Al-Makhtum' bahawa Baginda SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awwal.

Bagaimanapun, Menurut Mufti Mesir, Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah, terdapat juga kajian ahli falak yang bernama Dibbanah di dalam kitabnya "Taqwim 'Am Li Khamsati Alafi 'Am" yang mengesahkan bahawa 22 April jatuh pada hari Isnin, yakni 12 Rabi'ul Awwal, manakala 20 April pula (9 Rabi'ul Awwal) jatuh pada hari Sabtu.. Rujuk video beliau di: http://www.youtube.com/watch?v=yH1P5mKzRfs

Menurut Al-Allamah Al-Muhaddith Prof. Dr Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani, kita tidak mengatakan bahawa sambutan kelahiran Nabi SAW adalah sunnah dan terikat pada tarikh dan malam-malam tertentu, bahkan sesiapa yang beri'tiqad dan meyakini sedemikian, maka dia telah melakukan satu bid'ah yang sesat dalam agama kerana memperingati Nabi SAW dan berpaut hati pada baginda SAW itu perlu pada setiap waktu dan zaman dan perlunya juga untuk mengisi jiwa dengan kecintaan kepada Nabi SAW.

Sesungguhnya berkumpulnya kita untuk menyambut kelahiran nabi SAW pada bulan Rabi'ul Awal adalah bukan suatu ibadah, tetapi ianya merupakan adat yang dijadikan sebagai wasilah yang besar untuk berdakwah kepada Allah untuk mengingatkan umat yang lalai tetang akhlak Nabi SAW, sirah baginda SAW, keadaannya, muamalatnya, ibadahnya dan lain-lain. [Diadaptasi dari kitab 'Mafahim Yajibu An Tusohhah' m/s 253-254 karya Al-Allamah Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani dengan sedikit suntingan]

Sumber : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=528965530471413&set=a.100705106630793.1504.100000739112302&type=1&theater

Tiada ulasan: